Saya membaca pelbagai komentar mengenai keputusan Mahkamah membenarkan The Herald menggunakan kalimat "Allah" dalam penerbitannya. Saya tidak mahu mengulangi kembali hujah-hujah tersebut. Bacalah tulisan-tulisan itu sama ada di akhbar, website atau blog.Pendirian saya ialah saya tak setuju sekiranya "Allah" digunakan bagi merujuk kepada Tuhan seperti yang difahami oleh penganut Kristian atau mana-mana agama lain. Itu tidak wajar dan salah. Ia menyesatkan umat Islam. Saya tidak redha Allah dirujuk dalam konteks sedemikian. Di Barat, istilah "Allah" tidak digunakan oleh orang Kristian. Malah, ada organisasi Kristian yang tak setuju penggunaan istilah "Allah" kerana ia membawa konotasi yang berbeza dengan konsep ketuhanan yang mereka anuti.Dalam konteks Malaysia, saya tidak melihat ada keperluan untuk orang bukan Islam menggunakan istilah "Allah". Apakah niat sebenar mereka bersungguh-sungguh menggunakan istilah itu, tanyalah diri sendiri!Dalam hal ini, saya berkongsi kebimbangan sesetengah pihak bahawa penggunaan nama Allah boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini. Malah, umat Islam akan memikul bebanan tambahan untuk menjelaskan kepada anak-anak dan ahli keluarga masing-masing mengenai konsep Allah yang satu dan "Allah" dalam konteks yang difahami oleh penganut agama lain. Satu tugas tambahan yang tak perlu.Isu penggunaan istilah "Allah" ini bukan baru. Ia telah lama dibawa ke Mahkamah. Kementerian Dalam Negeri pun telah mengambil tindakan yang sewajarnya. Bagaimanapun, umat Islam tidur dan tidak peduli. Seperti biasa, umat Islam akan bangkit dan menunjukkan reaksi apabila keputusan dibuat oleh Mahkamah. Umat Islam ialah kelompok reaktif yang bertindak mengikut isu yang dijaja oleh orang lain.Pada masa yang sama, saya juga melahirkan kebimbangan apabila wujud satu aliran pemikiran yang menyamaratakan agama. Sementara saya menyokong semua usaha mewujudkan perpaduan antara bangsa dan agama, ia tidak bermaksud sampai ke tahap menjadikan semua agama sebagai satu. Itu kurafat.Insiden ini seharusnya menyedarkan kita mengenai betapa kerajaan, parti-parti politik dan semua institusi dalam negara harus berusaha secara bersama bagi mempertahankan Islam dari menjadi serangan pihak-pihak lain. Pada masa yang sama, ia juga menuntut kita untuk melipatgandakan usaha memantapkan kesedaran, ilmu dan penghayatan Islam di kalangan Muslim.Adakah anda beriman dengan Muhammad Rasulullah s.a.w., utusan terakhir? Sekiranya anda menjawab "ya", maka anda beriman dengan Allah s.w.t. Gunakanlah nama Allah!